Pemain sayap sensasi Terengganu FC (TFC), Muhamad Faris Ramli, menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi bersama skuad barunya itu musim ini.

Baginya, skuad kendalian ketua jurulatih muda, Nafuzi Zain, itu memiliki potensi juara, namun nasib sering kali tidak menyebelahi mereka, sekali gus meranapkan impian untuk menjulang sebarang kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"Saya sudah bermain selama lima musim dalam Liga M dan akui TFC memang satu pasukan yang bagus serta memiliki reputasinya yang tersendiri.

"Cuma mungkin mereka belum bertuah untuk memenangi sebarang gelaran juara seperti pada 2018. Mereka sudah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia dan hampir memenangi piala berkenaan daripada Perak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Faris yang berasal dari Singapura adalah pemain pertama yang diikat TFC untuk musim ini bagi mengisi kuota import ASEAN.

Sebelum menyertai skuad Penyu, pemain kebangsaan Singapura itu pernah mewakili pasukan seperti LionsXll, Young Lions, PKNS FC dan terakhir, Hougang United FC.

Ditanya mengenai keputusannya berhijrah ke Terengganu, Faris berkata dia menerima tawaran tersebut kerana terkesan dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Nafuzi.

Walaupun ada beberapa pasukan Liga-M yang lain berminat untuk mendapatkan khidmatnya, TFC adalah pasukan pertama yang menghubunginya dan minat yang ditunjukkan menyebabkan tawaran itu sukar ditolak.

"Ketua jurulatih, Nafuzi, memang nak sangat saya datang dan beliau secara peribadi telah berhubung dengan saya untuk bincang.

"Sebelum datang ke sini (Terengganu), saya telah menyaksikan banyak perlawanan TFC untuk melihat corak permainan yang diterapkan dan ia menepati cita rasa saya," kata pemain berusia 28 tahun itu.

-- BERNAMA