Faris mampu ikut jejak Safuwan, Hariss

Oleh Tengku Danish Bahri 8 November 2019 3382
Faris mampu ikut jejak Safuwan, Hariss
Pengendali Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain, optimis pemain sayap, Muhd Faris Ramli, mampu mencetuskan impak kepada pasukan itu musim depan.

Selain mengakui tertarik dengan aksi pemain berusia 27 tahun itu, Nafuzi berkata dia sudah mengikuti perkembangan tonggak pasukan kebangsaan Singapura itu sejak 2013.

Kelibat Faris yang ketika itu mewakili Lions XII berjaya membantu pasukan jemputan berkenaan menjuarai Liga Super, disusuli menjulang Piala FA pada 2015.

Dia kemudian beraksi untuk Home United sehingga 2017 dan PKNS FC (2018) sebelum kembali ke Liga Singapura bersama Hougang United tahun ini.

"Faris antara pemain yang saya ikuti perkembangannya kerana corak permainan yang serasi dengan taktikal diterapkan TFC.

"Jadi, saya harap dia dapat mengikut jejak rakannya, Safuwan Baharuddin serta Hariss Harun, yang cemerlang bersama Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," jelasnya.

Nafuzi begitupun mengesahkan peminat TFC mungkin perlu menunggu sedikit masa lagi untuk melihat pemain lincah itu menyarung jersi hitam putih.

Ini berikutan khidmat Faris diperlukan skuad kebangsaan Singapura menghadapi Sukan SEA di Filipina sebagai salah seorang pemain lebih had umur.

"Dia (Faris) merupakan tonggak pasukan kebangsaan Singapura dan saya gembira akhirnya dapat membawa dia ke dalam pasukan TFC.

"Sebagai penjaring terbanyak di Singapura dengan 16 gol, dia mampu membantu TFC meraih kejayaan musim depan," jelas Nafuzi lagi.

Kredit foto: Terengganu FC

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen