Pemain sayap kiri PKNS FC, Faris Ramli, berada dalam radar Perak bagi memantapkan pasukan The Bos Gaurus untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Pengurus baru Perak, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad, berkata Faris, 26, adalah antara pemain yang dikenal pasti oleh ketua jurulatih, Mehmet Durakovic.

Jika diambil, Faris yang berasal dari Singpura akan melengkapkan kuota pemain ASEAN pasukan itu.

"Ada empat atau lima pemain disenaraikan oleh jurulatih untuk diambil bagi memperkukuhkan pasukan.

"Usaha mendapatkan mereka akan dimulakan segera dan semoga urusan berjalan lancar," katanya.

Setakat ini, Perak sudah mendapatkan khidmat pemain anak jati negeri, J. Partiban dari Terengganu, Khamis lalu.

Yadzan yang juga Naib Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), berkata Perak perlu memantapkan pasukan bagi menghadapi peringkat play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

"Kami memerlukan pasukan mantap untuk menghadapi kejohanan itu." katanya.

Justeru, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain yang akan menyarung jersi pasukan Kejor Yob Kejor itu.

"Hanya yang kekal dipanggil manakala yang tidak berjaya tidak dipanggil," katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai pengurus, Yadzan mengakui terkejut kerana tidak menyangka akan diberikan tanggungjawab sebesar itu.

"Saya tidak sangkakan pelantikan ini, namun saya bersedia untuk memikul tugas berat ini.

"Tidak ada masalah. Saya boleh bekerja dengan siapa saja," katanya lagi.