Pemotongan melalui geran tahunan masih jadi formula terbaik buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan isu tunggakan gaji yang melanda kebanyakan pasukan musim ini, namun tetap mahukan semua pasukan boleh bersikap berdikari pada masa depan.

Isu tunggakan gaji pemain semakin parah. Malah, tahun 2018 dilihat sebagai tahun paling teruk krisis ini melanda bola sepak negara.

Membabitkan sejumlah 15 pasukan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, menjelaskan pandangan serius terhadap apa berlaku yang dilihat umpama satu bencana kepada kemeriahan bola sepak negara.

Bagi Stuart, FAM boleh membantu menerusi pemotongan geran tahun, namun menganggap jalan itu bersifat jangka pendek.

"MFL boleh membuat keputusan untuk bekerjasama dengan FAM untuk menangani hal ini. Kami berharap dapat dalam tempoh terdekat untuk membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji ini," katanya.

Mengenai nasib pemain yang berdepan tunggakan gaji daripada pasukan yang tidak lagi beroperasi, Stuart mengakui ia satu cabaran kepada FAM.

Tidak menafikan tanggungjawab itu perlu digalas persatuan negeri yang menaungi pasukan terbabit, FAM akan cuba mencari formula agar dilihat adil kepada semua pihak.

"Kami akan berbincang dengan persatuan negeri bagi membantu kami menyelesaikan isu ini," tambahnya.