Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menyiasat satu klip video yang tular berhubung kata-kata kesat yang dikeluarkan ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, semalam sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata sebarang tindakan ke atas Dollah akan diputuskan selepas badan induk itu meneliti klip video berkenaan yang ditularkan oleh segelintir netizen di laman sosial selepas aksi Liga Super di antara Pahang dan Melaka.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka, itu.

“Kami tidak akan mengenakan tindakan yang tidak munasabah sekiranya perkara tersebut bukan bertujuan menyerang integriti mana-mana pegawai perlawanan.

"Kami akan mengkaji klip video itu dan apa tujuan di sebalik perkara berkenaan sebelum mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran liga futsal profesional negara, Liga Perdana Futsal Malaysia (MFPL) yang disempurnakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.

Dalam pada itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Dollah, namun akan memberi peringatan kepada pengendali berusia 55 tahun itu supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan.

MFL tidak akan membawa perkara berkenaan kepada FAM memandangkan perbuatan berkenaan dilakukan secara spontan dan bukannya dalam sidang media selepas perlawanan.

“Kami perlu bersikap adil kepadanya di mana beliau tidak bercakap dalam sidang media rasmi tetapi tidak bernasib baik kerana percakapannya dirakam ketika kamera sedang merakam suasana selepas tamat perlawanan.

"Untuk kes ini, MFL akan memberikan peringatan kepada Dollah tentang statusnya sebagai tokoh bola sepak tempatan dan mengingatkannya bahawa perlawanan kini disiarkan secara langsung,” kata kenyataan berkenaan.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, berharap insiden itu akan memberikan peringatan bukan sahaja kepada Dollah tetapi kesemua jurulatih, khususnya pasukan Liga Super, memandangkan kesemua perlawanan kini disiarkan secara langsung menerusi platform Iflix.

Dollah dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat selepas perlawanan Pahang dengan Melaka dan klip video berhubung tindakan beliau itu telah ditularkan segelintir netizen di laman sosial.

-- BERNAMA