Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Hamidin Mohd Amin, mengesahkan penjaga gol skuad B-23 negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, telah memohon ujian sampel B dijalankan bagi kes doping dalam Kejohanan AFC B-23 2018, bulan lalu.

Syihan merupakan salah seorang pemain yang dipilih menjalani ujian doping selepas aksi sulung Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changsu, China, Januari lalu.

FAM telah menerima surat daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 6 Februari lalu yang menyatakan sampel awal Syihan didapati positif mengandungi unsur metabolite methandienone -- sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Justeru, semalam, Syihan menuntut sampel B miliknya diuji dan keputusannya dijangka akan diketahui minggu depan.

"Ujian sampel B itu telah dibuat semalam di China, keputusannya akan dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada minggu depan.

"Andai kata ujian sampel B miliknya masih positif, pihak jawatankuasa AFC akan mengeluarkan surat pertuduhan kepada Syihan dan proses jawatakuasa tatatertib akan dijalankan," kata Hamidin.

Semalam, Nadi Arena melaporkan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sudah mendapat arahan tidak membenarkan Syihan beraksi selama 60 hari bersama Negeri Sembilan.

Dia sudah tidak lagi beraksi semasa pasukannya menentang Kuala Lumpur di Paroi, 7 Februari lalu.

"Syihan perlu tunggu dulu. Kes ini jelas, jadi kami perlu menunggu hasil sampel B sebelum membuat keputusan," ujarnya lagi.