Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan merujuk kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status dua penyerang import liga tempatan, Guilherme De Paula dan Michael Ijezie, untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi negara.

FAM berdepan kerumitan untuk proses naturalisasi membabitkan De Paula atau Ijezie berbanding seorang lagi pemain import, Liridon Krasniqi.

Ia susulan kedua-dua pemain itu pernah meninggalkan Malaysia dalam tempoh beberapa bulan sejak masing-masing mula menetap di sini.

De Paula, yang mula berada di Malaysia pada 2015, menyertai kancah liga Greece pada 2016 sebelum kembali ke tanah air pada tahun yang sama.

Namun, berdasarkan syarat FIFA, seseorang pemain itu perlu tinggal di Malaysia secara berterusan selama lima tahun selepas berusia 18 tahun untuk mendapatkan status naturalisasi.

Keliru dengan situasi De Paula dan Ijezie, FAM merujuk kepada FIFA untuk mendapatkan kepastian.

"Kadang-kadang pemahaman (terhadap peraturan FIFA) boleh bercanggah, pemahaman FAM mungkin berbeza dengan FIFA.

"FAM cuba mencari masa untuk mengadakan mesyuarat dengan FIFA agar kami mendapatkan gambaran jelas," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Setakat ini, Malaysia sudah memiliki seorang pemain naturalisasi, iaitu pemain sayap kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh, yang membarisi skuad negara di pentas Piala AFF 2018.