Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akur dengan desakan apabila membuat ketetapan baru dalam prosedur pemilihan pengadil menerusi pelaksanaan pengadil berkecuali untuk semua perlawanan selepas ini.

Prosedur pemilihan pengadil FAM mencetuskan polemik dalam kalangan peminat susulan insiden di Larkin, Jumaat lalu.

Ia membenarkan pengadil mengadili pasukan negeri kelahirannya hanya kerana dia didaftarkan di tempat berbeza dan perkara sama pernah terjadi sebelum ini.

Namun, ketetapan yang menjadi pendirian FAM itu diubah setelah mereka menyedari ia lebih menyerlahkan kepincangan.

"Sebelum ini, kami hanya melihat di mana pengadil itu berdaftar.

"Kini, kami perlu melihat lebih selapis lagi tentang negeri kelahirannya juga.

"Kami tidak mahu isu itu timbul lagi selepas ini," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, antara individu yang mahukan prosedur FAM itu dikaji semula.

Ia selepas pengadil, Fitri Maskon, yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Felda United, dilahirkan di Johor tetapi didaftarkan sebagai pengadil di Melaka.

Perlawanan yang dimenangi JDT 3-1 itu dicemari dengan keputusan kontroversi Fitri membabitkan tiga layangan kad merah selain lapan minit masa kecederaan.

"Dalam masa sama, kami perlu melihat mekanisme apa (yang perlu dilakukan) supaya orang tidak lagi boleh mempertikaikan tentang pemilihan pengadil.

"Mutu pengadilan yang lebih profesional lebih penting pada masa akan datang kerana kami akan menitikberatkan tempat kelahiran pengadil itu," tambah Yusoff.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, menganggap isu tempat kelahiran pengadil sebagai isu yang remeh.

FAM, katanya, tidak perlu menekan butang panik memandangkan keutamaan yang perlu diberikan perhatian adalah kualiti pengadilan dan bukan tempat kelahiran yang hanya mencetuskan kekeliruan.

"FAM seakan-akan terkejut dengan bertindak untuk mengubah ketetapan itu.

"Bagi saya, ia perkara mustahil dan tidak perlu kerana yang paling penting adalah kualiti pengadilan," katanya.

Subkhiddin tidak menafikan terdapat lompong daripada segi kualiti pengadilan ketika perlawanan membabitkan JDT dan Felda United itu.

"Pengadil perlu berada di tengah-tengah dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pasukan.

"Dia perlu berlaku adil dan memahami taktikal perlawanan tersebut," tambahnya.