Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi enam pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM2,458,970.20 melalui pembayaran pada Khamis dan semalam.

Enam pasukan berkenaan terdiri daripada tiga pasukan Liga Super, iaitu Melaka United, Felda United dan Kuala Lumpur, serta tiga pasukan Liga Perdana, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang dan Sarawak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, berkata sumber kewangan untuk menjelaskan tunggakan berkenaan adalah daripada wang hak penyiaran MFL dan baki deposit dalam simpanan FAM daripada enam pasukan berkenaan.

"Bagaimanapun, pembayaran hanya dibuat kepada pemain dan pegawai yang kes tunggakan gaji atau tuntutan lain itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Status FAM dan juga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi kes melibatkan pemain import," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kevin menjelaskan inisiatif untuk memotong wang hak penyiaran dan mengunakan wang deposit daripada pasukan terlibat bagi menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai berkenaan adalah yang kali kedua.

Mac lalu, badan induk itu telah menggunakan wang deposit dan lain-lain wang milik pasukan terlibat berjumlah RM2,517,959.40 yang dipegang oleh FAM bagi menyelesaikan isu yang sama.

-- BERNAMA