"Pertaruhan Chong Yee Fatt akan dibayar."

Reaksi itu diluahkan bekas penyerang Harimau Malaya, Ahmad Fakri Saarani, yang membuat penampilan pertama bersama Kuala Lumpur, malam tadi, selepas 10 bulan tanpa aksi kompetitif.

Kembali dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), Fakri tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya mahu memperkemaskan prestasi secara individu terlebih dahulu sebelum memastikan kesan yang mampu dilakarnya bersama skuad Kuala Lumpur.

Keputusan Yee Fatt itu menggambarkan kepercayaannya terhadap Fakri tetapi mahukannya segera mendapatkan momentum permainan dalam misi membantu skuad barunya itu.

Sasaran Fakri adalah untuk kembali ke prestasi asal selepas mengharungi 10 hingga 15 perlawanan kompetitif sebelum benar-benar bersedia untuk kembali ke landasan sebenar.

"Saya sangat gembira dapat beraksi semula.

"11 bulan saya tersisih akibat kecederaan lutut dan dalam situasi itu, tidak banyak yang boleh saya lakukan.

"Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa buat Kuala Lumpur kerana baru menyertai pasukan ini tetapi berjanji (untuk meningkatkan) prestasi sendiri," katanya.

Fakri membuat penampilan pertama bermula pada minit ke-63 dan memiliki satu peluang terbaik untuk mencetak jaringan tetapi gagal dimanfaatkan dengan sempurna.

"Mungkin ia akan membantu keyakinan saya untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya lagi.