Fajr: Prestasi TRW boleh dipertingkatkan

Oleh Farizal Yusoff 6 April 2018 5277
Fajr: Prestasi TRW boleh dipertingkatkan
Ketua jurulatih Kelantan yang baru dilantik, Fajr Ibrahim, mengakui prestasi anak buahnya mampu dipertingkatkan lagi di sebalik keputusan seri 1-1 dalam aksi persahabatan menentang Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam kelmarin.

Katanya, biarpun beberapa pemain tonggak mengalami kecederaa,  pemain muda yang diturunkan tidak mengecewakan dan mampu memberikan aksi yang baik.

“Pujian untuk semua pemain (terutama pemain muda) yang beraksi dengan baik dan siri perlawanan persahabatan ini akan kami gunakan sepenuhnya untuk menilai prestasi pemain.

“Tambahan pula, ini perlawanan pertama di bawah kendalian saya dan kami cukup yakin untuk bertemu Negeri Sembilan di gelanggang lawan apabila Liga Super disambung semula pertengahan bulan ini,” katanya.

Fajr juga menjelaskan satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kelab Pattani FC telah diatur Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Ahad ini.

“Kita akan menghadapi skuad Pattani FC, Ahad ini, dan ini peluang terbaik kepada semua pemain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama TRW nanti,” katanya.

Dalam aksi persahabatan menentang skuad kendalian Mustaffa Kamal Abd Wahab itu kelmarin, TRW mendahului melalui sepakan kencang pemain tengah kreatif, kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun, pada minit ke-45.

Terengganu FC II menyamakan kedudukan seminit sebelum perlawanan separuh masa kedua berakhir melalui penyerang, Mohd Sharin Sapein, untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen