Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani IIias Khan, mengesahkan ketua jJurulatih The Red Warriors (TRW), Fajer Ibrahim, telah meletakkan jawatan menerusi surat yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Syria itu menyatakan hasrat mahu meninggalkan TRW disebabkan kesukaran menjalankan tugas selain tiada padang latihan untuk pemain berlatih.

“Dia hantar surat itu melalui WhatsApp pagi tadi dan menyatakan alasan mengapa mahu tinggalkan Kelantan.

“Dia juga ucap selamat maju jaya kepada TRW,” kata Bibi Ramjani.

Dalam perkembangan yang sama, Bibi Ramjani juga menyerahkan tanggungjawab mengemudi skuad TRW kepada penolong jurulatih, Yusri Che Lah, yang sedang bersama pasukan untuk bertemu Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman, malam ini.

“Buat sementara waktu, Yusri akan memikul tanggungjawab sebagai pemangku ketua jurulatih.

“Kita tengok prestasinya dalam tiga perlawanan Liga Super (termasuk dua kali menentang Kedah) dan bertemu PKNS FC di Kota Bharu.

“Namun, apa yang penting adalah saya perlu berjumpa dengannya serta semua pemain untuk menerangkan situasi terkini."

Untuk rekod, prestasi TRW di bawah kendalian Fajer begitu teruk apabila sekadar mencatat satu kemenangan ( 4-2 ke atas Kuala Lumpur), seri 1-1 dengan Negeri Sembilan sambil tewas enam perlawanan sejak mengambil alih tugas daripada Sathit Bensoh, pertengahan Mac lalu.

Lebih daripada itu, keghairahan menggunakan pemain muda yang kurang berpengalaman dan meminggirkan pemain senior membawa padah apabila TRW kini berada di zon penyingkiran Liga Super.