Fajer: Jangan takut jumpa JDT

Oleh Farizal Yusoff 28 April 2018 7326
Fajer: Jangan takut jumpa JDT
Ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim, mahu pemainnya menunjukkan keupayaan sebenar tanpa mempedulikan status yang dimiliki lawan dalam saingan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Katanya, pemain perlu mengetepikan perasaan takut dan harus berfikiran positif ketika turun melayan skuad Harimau Selatan itu di gelanggang sendiri biarpun sedar lawan yang ditentang adalah pendahulu liga dan gergasi bola sepak negara.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk pemain muda menunjukkan keupayaan sebenar dan beraksi sepenuh hati menentang sebuah pasukan yang hebat. Buktikan kepada semua bahawa kami boleh melakukannya.

“Kenapa perlu takut dengan JDT?  Merekalah yang sebenarnya perlu risau berdepan dengan Kelantan di sini. Seharusnya, kami (pemain) turun dengan fikiran positif dan berusaha mencari kemenangan.

“Saya gembira dapat bertemu dengan mereka (JDT) sambil menggunakan tenaga muda dalam pasukan The Red Warriors (TRW),” katanya.

Fajer juga menjelaskan kemenangan ini cukup penting kepada Kelantan dalam usaha keluar daripada zon penyingkiran.

“Sebagaimana saya beritahu anda sebelum ini, setiap perlawanan adalah penting dan saya mahukan kemenangan (bukan seri atau kalah).

“Saya cabar pemain untuk mendapatkan mata penuh,” katanya.

Untuk rekod, TRW berada di tempat kedua tercorot dalam carta Liga Super dengan lima mata hasil daripada enam perlawanan manakala Harimau Selatan (JDT) gah sebagai pendahulu dengan 15 mata.

 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen