Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukan itu setakat ini dalam saingan Liga Super 2019.

Faizal yang juga merupakan Menteri Besar Perak itu turut resah dengan ketumpulan jentera serangan pasukan itu tatkala mereka hanya mengutip satu kemenangan, tiga seri dan satu kalah.

Situasi itu membuatkan Faizal mahu pemain skuad The Bos Gaurus meningkatkan persembahan mereka apabila liga bersambung hujung bulan nanti.

"Saya masih belum puas hati dengan persembahan pemain setakat ini.

"Kami cuma memperoleh satu kemenangan dan serangan kami masih lagi tumpul," katanya selepas mengunjungi latihan pasukan petang tadi.

"Hari ini saya hadir bersama pemain agar menaikkan lagi semangat mereka supaya berlatih bersungguh-sungguh dan boleh mencapai lebih banyak kemenangan.

"Insya-Allah, kami akan terus berlatih bersungguh-sungguh dan tampilkan permainan lebih baik," tambah Faizal.

Justeru, Faizal menyeru penyokong Perak agar terus menyokong pasukan itu bagi menyemarakkan lagi semangat pemain.

"Peranan penyokong juga penting kerana mereka mampu menjadi pemangkin semangat dan keyakinan pasukan."