PAHANG 0 TERENGGANU 1

Terengganu FC (TFC) membuat Pahang berputih mata untuk menghambat peneraju Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), apabila berhasil membawa pulang mata penuh di Stadium Darulmakmur, malam ini.


Hasrat Tok Gajah untuk menggunakan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri bagi memintas kedudukan Perak di tangga kedua tidak kesampaian apabila barisan pertahanan dihukum oleh Faiz Nasir pada minit ke-62.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu hanya menurunkan dua tonggak import apabila meletakkan Safuwan Baharudin di bahagian benteng manakala Patrick Cruz menerajui barisan serangan.

Perlawanan berlangsung seimbang dalam tempoh 30 minit awal permainan sebelum Pahang lebih garang mengatur asakan.

Peluang awal terbaik tuan rumah hadir menerusi R. Kogileswaran, namun penyerang muda itu gagal memterjemahkan gelecekan Faisal Halim.

Berselang beberapa minit, Lee Tuck memaksa penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias, yang cemerlang menguis keluar sepakan percumanya.

Sang Penyu memulakan aksi dengan lebih kemas sejurus keluar dari bilik persalinan dalam babak kedua.

Ketua pasukan, Kipre Tchetche, memberi kesan kepada kem Terengganu apabila dia melepasi ofsaid. Biarpun cuba dikekang lima pertahanan lawan, hantaran lintang rendahnya di depan gawang menemui Faiz sebelum pemain lincah itu melepaskan rembatan padu.

Meskipun cuba bangkit pada lewat permainan, asakan bertali-arus Pahang dipatahkan sambil Terengganu beberapa kali cuba mendapatkan gol kedua menerusi serangan balas.

"Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, pemain dilihat begitu disiplin pada malam ini, tidak seperti tempoh hari ketika kalah 3-1 kepada Pahang.

"Ketika itu, ramai pemain lebih sekadar berjalan kaki.

"Saya berpesan kepada mereka agar perlu agresif, saya tidak mahu mereka berlembut dan cepat berputus hati.

"Mereka cukup berdisiplin walaupun kami hanya menang dengan satu gol. Kehadiran semula Tchetche juga amat penting kerana dia menghadirkan ancaman kepada pertahanan Pahang," kata jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Keputusan lain:

LIGA SUPER
KELANTAN 1 PKNP FC 2

LIGA PERDANA
SABAH 2 JOHOR DARUL TA'ZIM II 2


Kredit imej: Pahang FA