Pemain tengah Terengganu, Mohd Faiz Mohd Nasir, mahu memecah dominasi pemain berfizikal besar menerusi kelincahannya walaupun hakikatnya, anak jati Kelantan itu hanya memiliki ketinggian 157 sentimeter.

Setiap kali kelibat pemain ini masuk ke padang, tepukan gemuruh daripada penyokong Terengganu tidak pernah berkurangan sebagai tanda sokongan mereka kepada Faiz yang turut digelar sebagai Messi Terengganu.

Hakikatnya, Faiz yang hanya memiliki ketinggian 5 kaki, berjaya menarik perhatian ramai.

Bagi Faiz, dia tidak mahu melihat keadaan fizikalnya sebagai kesukaran buatnya memainkan peranan utama sepanjang 90 minit menerusi lenggok yang dimilikinya dan dia yakin kelebihan itu tiada pada pemain lain.

"Bagi saya, saiz bukanlah halangan. Yang penting, saya bermain dengan sepenuh hati.

"Apa yang mustahak, arahan yang diterapkan jurulatih semasa latihan perlu dijelmakan dalam aksi sebenar," katanya.

Jaringan tunggal Faiz berjaya membawa kemenangan Sang Penyu ketika bertemu Pahang dalam aksi Liga Super, tempoh hari.

Hal yang sama mahu dilakukan Faiz menjelang pertemuan dengan Perak malam ini apabila bersedia sepenuhnya dengan kelebihan The Bos Gaurus yang memiliki kekuatan ampuh di jentera tengah.

"Kami dipesan supaya mematikan barisan tengah mereka. Dengan sokongan padu penyokong, Insya-Allah kami mampu mencapainya," ujarnya.