Pemain muda Pahang, Faisal Abdul Halim, yang mencuri tumpuan dalam aksi berdepan Kedah, 17 Mac lalu, berharap lebih banyak peluang mampu diberikan jurulatih, Dollah Salleh, bagi memperkukuhkan kembali prestasinya selepas dipanggil menyertai skuad B-21 tahun.

Pemain bertubuh kecil namun lincah ini hanya dimasukkan selama 21 minit bermain di posisi sayap kiri tetapi berjaya mencetus impak tersendiri ke atas lawan.

Baru berusia 20 tahun, masa depan pemain berasal dari Pulau Pinang ini tampak cerah berdasarkan kemahiran individu dan kepantasan yang dimiliki untuk bermain di posisi terbabit.

Namun, bukan mudah buat Faisal mendapatkan tempat kerana perlu bersaing dengan beberapa pemain lain seperti Chan Vathanaka dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

"Saya bersyukur di atas peluang beraksi untuk Pahang dan membuktikan kebolehan saya kepada jurulatih. Saya berharap untuk menjaringkan gol untuk pasukan dalam perlawanan akan datang," katanya.

Faisal sebelum ini pernah menjadi sebahagian skuad B-23 tahun ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt.

Tidak kecewa gagal memikat Datuk Ong Kim Swee ke Sukan SEA, Faisal berharap rezeki akan memihak kepadanya selepas namanya terpilih dalam senarai 26 pemain skuad B-21 tahun.

"Saya tidak kecewa apabila tidak beraksi dalam Sukan SEA, saya tetap memberikan yang terbaik dalam sesi latihan untuk mempamerkan persembahan yang cemerlang bersama Pahang."