Tonggak tengah Selangor, Evan Dimas Darmono, bertekad menebus kekalahan di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super apabila bakal menyambut skuad Harimau Selatan itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, esok.

Pemain antarabangsa Indonesia itu berasakan Gergasi Merah kini lebih bersedia untuk menangani JDT.

Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, dijangka menggunakan formasi 4-3-3 dan Evan optimis barisan pemain kini lebih serasi dengan sistem ini.

Untuk itu, Evan juga percaya kemenangan boleh diraih jika setiap pemain menyerlahkan kerjasama erat sepasukan.

"Perlawanan esok amat penting untuk kami memperbaiki kedudukan liga.

"Tiada yang mustahil kalau kami saling bekerjasama dan berjuang habis-habisan, " kata pemain import dari Indonesia itu.

Dalam masa sama, penyerang Selangor, Rufino Segovia, turut mahu merakam tiga mata ke atas JDT.

Bagi Segovia, JDT ampuh di Larkin tetapi Selangor turut berupaya melakar kemenangan di laman sendiri.

"Sukar untuk bermain di tempat lawan. JDT sebuah pasukan mantap, mereka memiliki pemain yang bagus di bahagian serangan.

"Kami kini lebih ampuh di bahagian benteng dan lebih segar.

"Kami juga ampuh di laman sendiri dan memiliki peluang untuk menang," kata penggempur berasal dari Sepanyol itu.