Pemain import Selangor, Evan Dimas Darmono, belum mempunyai perancangan jangka panjang bersama pasukan Gergasi Merah itu, sebaliknya hanya mahu memberi fokus terhadap pertandingan yang diharungi musim ini.

Dengan Liga Super sudah memasuki pertengahan musim, sudah pasti ada pemain yang telah mengadakan perbincangan untuk melanjutkan khidmat mereka.

Situasi itu, bagaimanapun, tidak berada dalam fikiran Evan kerana apa yang menjadi keutamaannya ketika ini adalah untuk memastikan Selangor meraih kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.

Pemain antarabangsa Indonesia itu antara muka baharu yang memperkuatkan cabaran Selangor musim ini di samping kelibat rakan senegaranya, Ilham Udin Armaiyn.

"Yang pasti tahun ini, saya fokus untuk pertandingan demi pertandingan kerana saya tidak fikirkan untuk tahun depan.

"Kalau kita fikir terlalu jauh, kita akan hilang fokus perkara di depan kita. Saya akan berusaha untuk memberikan yang terbaik buat pasukan," ujarnya.

Gol kemenangan yang disudahkan Evan ketika menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Cheras kelmarin merupakan yang kedua berturut-turut dijaringkannya selepas menyumbat gol ketika kemenangan besar 4-0 ke atas Kelantan di Kota Bharu, minggu lalu.

Begitupun, dia lebih mementingkan keputusan positif buat pasukan tanpa mengira siapa yang mencetak nama selaku penjaring.

"Terima kasih rakan-rakan. Tanpa kerjasama dan bantuan mereka, mungkin tidak mudah bagi saya untuk menjaringkan gol.

"Apa yang paling penting, ia bukan gol untuk saya. Paling utama ialah kemenangan pasukan," katanya lagi.