Pengurus Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan E. Elavarasan dilantik sebagai jurulatih Melaka yang baru bagi menggantikan Eduardo Almeida dengan kontrak sehingga akhir musim ini.

Berdasarkan laporan Nadi Arena semalam, Elavarasan dikaitkan akan menyertai Melaka bagi mengisi tempat Almeida yang dipecat Rabu lalu ekoran prestasi buruk pasukan.

Ia susulan kelibat jurulatih berusia 53 tahun itu kelihatan ketika perlawanan Liga Super Melaka menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

Dan segala teka-teki mengenai perkara itu terjawab hari ini apabila Elavarasan sah dilantik sebagai jurulatih Melaka untuk baki saingan musim ini.

"Saya telah memperkenalkan Elavarasan kepada pemain-pemain (Melaka) dan memberi penerangan (kepada mereka) kerana prestasi Melaka agak merudum apabila mengalami kekalahan demi kekalahan.

"Perubahan perlu dibuat agar kami kekal bersaing," kata Yusof.

Petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan terhadap Elavarasan adalah Melaka kekal dalam Liga Super dan mampu bersaing hebat dalam Piala Malaysia.

Cabaran itu pantas disahut Elavarasan yang kembali membimbing pasukan selepas hampir setahun berehat susulan direhatkan pasukan terdahulunya, PKNS FC.

"KPI ini boleh dicapai asalkan kami bekerjasama sebagai satu unit.

"Baru-baru ini prestasi mereka tidak berapa baik tetapi pengurusan banyak berusaha untuk memperbaiki persembahan mereka pada masa akan datang," kata jurulatih itu.