Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tetap menyasarkan kemenangan dalam aksi Liga Super dengan Pulau Pinang di laman sendiri esok walaupun tidak menolak kemungkinan merehatkan beberapa pemain utama.

Jurulatih itu mengakui ia penting buat Perak meraih tiga mata dalam usaha mencerahkan peluang untuk menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga liga musim ini.

Sehubungan itu, bekas pengendali Selangor itu memberi jaminan bahawa Perak tidak akan memandang mudah cabaran Pulau Pinang meskipun pasukan pelawat itu menghuni tangga tercorot liga dan hampir pasti ke Liga Perdana, musim depan.

"Sebagai jurulatih, kemenangan dalam setiap perlawanan sangat bermakna buat kami.

"Tidak kisah siapa yang akan dihadapi, kami tetap mahukan kemenangan, lebih-lebih lagi kami berpeluang merampas tempat ketiga liga," ujarnya.

Namun, Durakovic mengakui dia berkemungkinan merehatkan beberapa tonggak yang mengalami kecederaan ringan selepas kemenangan 4-0 ke atas Pahang dalam suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad lalu.

Keadaan cuaca yang kurang baik di Ipoh hari ini turut menyaksikan The Bos Gaurus hanya menjalani latihan ringan kerana enggan mengundang risiko kecederaan untuk aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia dengan JDT, 14 Oktober depan.

"Saya memiliki skuad yang kecil.

"Ada dalam kalangan pemain yang bergelut dengan kecederaan sepanjang musim ini dan ada yang mengalami kecederaan kecil.

"Sudah tentu saya akan membuat sedikit rombakan," katanya lagi.