Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, tidak memandang mudah cabaran Kuala Lumpur apabila bertemu pasukan tercorot Liga Super itu di Stadium Perak, malam esok.

Ini kerana Durakovic menganggap Kuala Lumpur berbahaya dan ibarat bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa saja.

"Kuala Lumpur turun dengan misi mengelak penyingkiran.

"Justeru, saya jangkakan mereka akan memberi tentangan habis-habisan kepada kami dalam usaha memburu kemenangan bagi mengelak penyingkiran.

"Perak mencari masalah jika menganggap mudah perlawanan ini," kata Durakovic dalam majlis bertemu dan beramah mesra pasukan Perak dengan peminat di AL-Ikhsan Sports, di Pasaraya Ipoh Parade, sebentar tadi.

Kira-kira 1,000 peminat hadir di majlis itu yang menyaksikan mereka berpeluang bergambar serta mendapat tandatangan pemain The Bos Gaurus.

Jurulatih itu menyifatkan pertembungan itu juga penting bagi The Bos Gaurus yang berpeluang menamatkan cabaran musim ini di tangga kelima jika menang malam esok dengan jurang besar sementara Melaka gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan dengan Pahang di Kuantan, malam ini.

"Saya reda dengan apa juga kedudukan kami dalam Liga Super 2019 ini kerana yang menjadi tumpuan utama Perak ialah final Piala FA minggu depan," katanya.