Kejohanan tahunan merebut Perisai Perpaduan di antara Perak dan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini dianggap Mehmet Durakovic sebagai idea yang sangat baik.

Selain menjadi perlawanan pemanas badan, ia memberi peluang kepada semua pihak untuk beramal kerana hasil kutipan jualan tiket disalurkan untuk tujuan kebajikan.

"Ia satu idea yang baik dan perlu diberi sambutan hangat.

"Tahun hadapan ia akan diadakan di Ipoh pula," kata jurulatih Perak itu.

Menurut Durakovic, walaupun ia hanya perlawanan pra-musim, Perak ingin memenangi sebanyak mungkin perlawanan ketika pra-musim dan The Bos Gaurus akan turun memberikan yang terbaik.

Jurulatih dari Australia itu berkata dia akan menggunakan kesempatan berkenaan untuk memberi peluang kepada semua pemain beraksi.

Menurutnya, terdapat pemain mengalami kecederaan, termasuk pemain yang baru selesai mewakili pasukan kebangsaan, dan keadaan itu memberi peluang kepada pemain muda dan tempatan untuk menonjolkan kemampuan bagi terpilih menjadi kesebelasan utama musim ini.

"Saya berharap mereka yang diberi peluang akan mengambil kesempatan untuk menunjukkan kemampuan," katanya.