Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, bersedia untuk mempertaruhkan kudrat pemain tempatan seandainya masih belum mendapatkan calon bersesuaian bagi mengisi kuota pemain import Asean sehingga tamat jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M), 29 Mei ini.

Perak setakat ini mempunyai empat pemain import, iaitu Zac Anderson, Leandro Dos Santos dan dua tenaga baru dari Brazil, Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Careca.

The Bos Gaurus masih mempunyai satu lagi kekosongan menerusi kuota pemain import Asean dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sedang giat memantau beberapa pemain seperti tonggak skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli.

Jika masih tiada calon yang bersesuaian sehingga tarikh tutup jendela perpindahan kedua, Durakovic bersedia untuk membiarkan kekosongan itu sambil mengharapkan kudrat pemain tempatan.

"Kami perlu melihatnya dahulu.

"Anda tidak boleh katakan tidak.

"Setakat ini, kami termasuk pihak pengurusan amat gembira dengan pasukan.

"Jika ada pemain yang bersesuaian dengan permainan kami, kami akan mengambilnya.

"Namun, terlalu banyak pemain untuk dinilai dan kami akan melihat sama ada kami memerlukannya atau tidak," katanya.

Dalam masa sama, Durakovic turut mempertaruhkan kepercayaan terhadap dua awang import barunya itu untuk menjadi penyelesaian terbaik di jentera serangan.

Sepanjang 10 perlawanan terdahulu, Perak hanya mencatatkan tiga kemenangan, enam keputusan seri dan satu kekalahan.

"Kami perlu menumpukan terhadap persediaan.

"Kami perlu fokus dan memanfaatkan setiap peluang.

"Harap-harap dengan kehadiran dua pemain baru, ia akan meningkatkan prestasi kami.

"Saya amat berpuas hati dengan pasukan ini setakat ini.," tambahnya.