Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas berjaya mengelak daripada merakamkan keputusan seri ke-10 dalam aksi Liga Super musim ini.

Gol tunggal yang dihasilkan Ronaldo Henrique Silva ketika mengatasi Petaling Jaya FC 1-0 semalam berjaya memastikan kemenangan kedua skuad The Bos Gaurus di laman lawan.

Meskipun hanya satu gol diperoleh, apa yang lebih penting bagi Durakovic adalah membawa pulang tiga mata penuh yang meletakkan Perak di kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super.

"Tiga pemain menyertai skuad kebangsaan sementara beberapa pemain tidak berada di tahap kesihatan terbaik, namun Perak masih mampu meraih kemenangan berharga ketika berdepan lawan yang memberikan tentangan sengit," katanya.

Sementara itu, pengendali Petaling Jaya FC, K. Devan, mengakui aksi kurang memberangsangkan di bahagian tengah dan ketumpulan penyudah menjadi punca The Phoenix gagal meraih sebarang mata di laman sendiri.

Bagaimanapun, Devan masih menganggap anak buahnya sudah berusaha dengan baik meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten, S. Subramaniam, dilayangkan dua kad kuning.

"Masalah utama kami adalah bahagian tengah, kami gagal mengawal permainan dan mengambil keputusan yang tepat ketika melakukan hantaran sementara terpaksa beraksi dengan 10 pemain," katanya.