Masalah ketumpulan penyudah terus memeningkan Mehmet Durakovic yang menyaksikan Perak tumpas 0-1 kepada Pahang di laman sendiri, malam tadi.

"Daripada segi persembahan, tiada sebarang masalah. Kami bermain dengan baik dan mencipta peluang tetapi tiada penyudah," kata Durakovic selepas perlawanan.

Dalam perlawanan malam tadi, jaringan Harold Mark Goulon pada minit ke-56 membuatkan Perak berputih mata.

Walaupun Tok Gajah terpaksa meneruskan baki 20 minit dengan 10 pemain selepas Nor Azam Azih meninggalkan padang gara-gara menerima kad kuning kedua, tuan rumah tidak berupaya untuk memadam kelebihan pelawat itu.

"Kami mengasak dengan hebat, malangnya tidak dapat menyudahkan peluang. Pahang sebaliknya berjaya menjaringkan gol hasil situasi bola mati.

"Apapun, saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang berusaha bersungguh-sungguh.

"Kami juga bermain dengan hanya menggunakan tenaga pemain tempatan selepas Wander (Luiz) dikeluarkan sebelum rehat," katanya.

Perak memulakan perlawanan tanpa Gilmar Jose Da Silva yang mengalami kecederaan selain Zac Anderson dan Leandro Dos Santos akibat penggantungan.

Jurulatih itu mengakui menghadapi kekangan berikutan ketiadaan pemain import dalam kesebelasan pasukan walaupun pemain tempatan mempamerkan aksi terpuji.