Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menafikan desas-desus bahawa beliau akan kembali mengemudi skuad Selangor dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Beliau berkata tumpuannya kini hanya terarah kepada skuad The Bos Gaurus yang sedang mengharungi kempen Piala Malaysia.

"Sememangnya saya tidak akan ke mana-mana (berhijrah) dan fokus saya adalah untuk membawa Perak ke perlawanan akhir sepertimana sasaran pasukan sebelum ini," katanya dalam sidang media di Stadium Perak, malam tadi.

Pada 10 Ogos lalu, khabar angin berkaitan penghijrahan bekas pemain legenda The Red Giants itu bertiup kencang susulan kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, yang mengesahkan empat calon jurulatih berada dalam radar persatuan itu.

Dalam kenyataan sama, Dr. Johan juga tidak menafikan bahawa Durakovic yang pernah membawa Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2015 merupakan seorang daripada empat calon jurulatih tersebut.

Sementara itu, Durakovic berkata kehilangan pemain utama akibat kecederaan merupakan punca Perak tumpas 3-4 kepada Terengganu di Stadium Perak, malam tadi.

Katanya, Perak yang turun tanpa dua tonggak utama, iaitu Mohd Shahrul Saad dan Mohd Nasir Basharuddin, seakan-akan kaku dan melakukan banyak kesilapan mudah sehingga membenarkan empat gol dihasilkan Terengganu.

"Kami bermula baik pada 20 minit awal permainan, namun selepas Terengganu memperoleh dua penalti pada babak pertama, rentak perlawanan berubah.

"Saya juga tak menafikan ketiadaan Shahrul dan Nasir memberi impak besar kepada pasukan dalam mengimbangi rentak agresif yang dipamerkan Terengganu," katanya.

Dalam pertemuan itu, tiga gol Perak dijaringkan oleh pemain import, Wander Luiz Junior, pada minit ke-85 dan 89 selain Leandro Santos pada minit ke-90 m​​​​​​​​​​​anakala empat jaringan Terengganu dihasilkan oleh Mohamad Ashari Samsudin (m-8), Lee Andrew Tuck (m-45), Chanthacheary Bin (m-57) dan Mohd Faiz Mohd Nasir (m-81).

Katanya, kekalahan itu juga tidak sesekali mematahkan semangat pasukan selain optimis kemenangan akan dapat dicapai dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur di Stadium Cheras, 19 Ogos ini.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata walaupun gembira pasukannya merakamkan kemenangan, namun beliau agak kecewa dengan aksi yang ditonjolkan beberapa pemainnya sehingga membenarkan Perak menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan.

Katanya, kelemahan itu akan diatasi secepat mungkin selain berharap momentum kemenangan akan dapat dikekalkan dalam pertembungan menentang Felcra FC di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, 18 Ogos ini.

-- BERNAMA