"Perak dinafikan mata penuh." Demikian reaksi jurulatih, Mehmet Durakovic, selepas usaha untuk mencari tiga mata berharga Liga Super dinafikan pengadil perlawanan susulan dua jaringan anak buahnya dibatalkan kerana ofsaid malam tadi.

Kegagalan pasukannya meraih mata penuh ketika berdepan Kedah hanya disebabkan dua jaringan yang tidak diiktiraf pengadil perlawanan ketika peluang di hadapan gawang pelawat jelas didominasi The Bos Gaurus untuk perlawanan berakhir tanpa jaringan.

"Inilah bola sepak Malaysia, sukar diramalkan.

"Bagus apabila setiap pasukan mempunyai sesuatu untuk diperjuangkan.

"Sudah tentu, perkara ini sudahpun berlaku, kami cuba untuk fokus dan memenangi setiap perlawanan dan kami tidak boleh bergantung kepada lawan.

"Kami masih berpeluang," kata Durakovic.

Ternyata kedudukan kedua dalam saingan Liga Super masih belum terjamin dan pengakhiran buat Perak hanya akan terjawab dalam aksi terakhir bertemu PKNS FC manakala Pahang juga memiliki peluang seimbang.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff, menganggap satu mata dari Stadium Perak sebagai keputusan yang cukup berharga.

Lang Merah terpaksa akur dengan situasi kecederaan pemain utamanya dan bergantung kepada pemain muda bagi menamatkan saingan Liga Super yang hanya berbaki satu perlawanan bertemu PKNP, Ahad ini.

"Mereka mempunyai potensi untuk membarisi skuad utama Kedah pada masa depan.

"Tidak ramai yang meletakkan harapan kepada mereka pada malam ini (tadi).

"Satu mata (dipungut) sudah cukup baik," ujar Nidzam.