Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila melihat aksi serba tidak kena anak buahnya di Stadium Shah Alam ketika dibelasah PKNS FC 4-1, semalam.

Bagi Durakovic, mereka dihukum atas kesilapan sendiri dan ternyata kecewa setelah gagal meletakkan Perak di kedudukan lebih selesa.

Pahang dan Terengganu yang mengekori rapat di belakang Perak kini memiliki kelebihan untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik apabila kedua-dua pasukan itu dilihat sebagai pilihan untuk mengatasi Kelantan atau Selangor, malam ini.

“Sudah tentu kami mahu menamatkan saingan di tangga kedua. Kami mengharungi musim yang baik pada tahun ini.

“Setiap pemain telah memberikan aksi terbaik tetapi kadangkala anda memerlukan nasib baik,” kata Durakovic.

Sementara itu, situasi berbeza dialami jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal selepas pasukan bimbingannya meraih tiga mata walaupun pada awalnya menjangkakan aksi di Shah Alam seimbang.

“Memang kami tidak menjangkakan dapat menyumbat empat gol walaupun yakin mampu mencatat kemenangan.

“Setiap gol yang kami raih adalah jaringan yang bagus,” ujar Rajagobal.