Mehmet Durakovic gembira dengan keadaan pasukan Perak bagi mengharungi baki lapan perlawanan Liga Super musim ini.

Segalanya-galanya berlaku berikutan kehadiran tiga pemain import baru dalam pasukan The Bos Gaurus itu.

Pemain-pemain itu adalah Ronaldo Henrique Silva, Raianderson Careca dan Hussein Eldor.

"Trio ini memberikan impak dalam pasukan.

"Ronaldo dan Careca sudah bermain dalam tiga perlawanan manakala Hussein pertama kali diturunkan ketika menentang Pahang.

"Dia (Hussein) telah lulus ujian pertama dengan sumbangan berkesan ketika kami bertemu Pahang di Kuantan.

"Ketika itu, dia sempat menjalani dua sesi latihan dengan kami," katanya.

Pengendali pasukan Yob itu yakin trio berkenaan mampu memberikan sumbangan bertenaga apabila mengembalikan kecergasan ke tahap tertinggi.

Durakovic gembira apabila Perak mengutip satu mata daripada kunjungan ke Kuantan itu kerana ia mencerahkan peluang mereka untuk bersaing merebut kelompok atasan liga.

Menurutnya, tumpuan Perak kini adalah untuk menghadapi pertemuan dengan Melaka, Sabtu ini.

"Perlawanan itu pasti tidak mudah kerana Melaka sebuah pasukan yang bagus.

"Mereka memiliki pemain import dan tempatan yang berwibawa," katanya.