Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, hanya akan berlapang dada jika keseluruhan pemain gantiannya mampu menjalankan tugas di atas padang seperti mana yang dilakukan barisan utamanya sebelum ini.

Situasi Perak umpama terkena sumpahan menjelang aksi Liga Super dengan Pahang di Ipoh malam ini.

Ketika skuad The Bos Gaurus itu amat mengharapkan kutipan tiga mata kedua musim ini, hampir keseluruhan pemain utama tidak dapat diturunkan menentang Pahang.

Tidak mahu mudah memikirkan kemungkinan yang akan dihadapi, Durakovic mahu pemain gantiannya membawa berita gembira sebaik tamat 90 minit perlawanan

Rasa gusar pengendali itu hanya akan terubat andai barisan kendaliannya itu tidak memberikan laluan mudah buat Pahang.

"Ia sudah pasti bukan perkara mudah, namun saya mempunyai keyakinan terhadap pemain yang akan diturunkan nanti.

"Selagi mereka memberikan usaha 100 peratus, saya akan gembira.

"Jika kami mengekalkan fokus sepanjang 90 minit dan memberikan 100 peratus, saya akan berasa gembira tanpa mengambil kira pemain mana yang diturunkan," katanya.

Durakovic, yang dikenali sebagai jurulatih yang sentiasa berfikiran positif, mengekalkan keyakinannya terhadap kemampuan barisan pemainnya selain tidak mahu keadaan semasa terus menguasai pemikiran anak buahnya ketika ini.

"Buat masa ini, separuh daripada pasukan saya dilanda kecederaan.

"Sesetengah mereka sedang melakukan proses pemulihan untuk diturunkan.

"Bagaimanapun, pemain yang cedera akan tetap cedera dan pemain yang digantung tidak akan dapat diturunkan.

"Pemain gantian akan diturunkan dan saya berharap mereka akan menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya," tambahnya.