Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Ibrahim, memberi pengesahan dua awang import dari Indonesia, Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn, akan memulakan latihan bersama Selangor minggu depan.

Sebelum ini, terdapat dakwaan beberapa media di Indonesia yang melaporkan dua pemain itu mungkin tidak akan berhijrah ke Selangor.

Ia gara-gara kenyataan Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi, yang tidak menggalakkan pemain negaranya ke Malaysia musim depan.

Namun, Rosman menjelaskan kerisauan PSSI sebenarnya berhubung pelepasan pemain Indonesia untuk Sukan Asia 2018 di Indonesia Ogos depan kerana Liga Malaysia tetap berlangsung ketika itu.

"Kami yakin mereka akan datang ke Selangor. Kami hanya berinteraksi dengan PSSI, sama ada pemain itu dilepaskan atau tidak dalam Sukan Asia nanti.

"Mereka khuatir tentang Sukan Asia sebab mereka adalah tuan rumah. Selepas saya lihat jadual tadi, maknanya tiada masalah," ujarnya.

Rosman turut mengesahkan dua pemain itu sudah mengikat kontrak semusim bersama Selangor.

Sekiranya mereka gagal melaporkan diri sehingga awal bulan depan, FAS juga tidak teragak-agak untuk membuat aduan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam perkembangan sama, FAS juga buat masa ini hanya menggunakan khidmat empat awang import walaupun FMLLP memperuntukkan lima import buat pasukan Liga Super bagi musim 2018 yang turut merangkumi kuota pemain ASEAN

"FAS hanya meluluskan empat pemain import. Jika berdasarkan itu kuota ASEAN, itu kami tidak mengambil kira," katanya.