Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, enggan melayani dakwaan 52 kelab penentang pucuk pimpinan persatuan itu yang mendakwa mereka adalah penyelamat FAS dan mahu membantu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai presiden.

Menurut Dr. Johan, kenyataan 52 kelab itu yang mendakwa exco persatuan mempunyai agenda peribadi, juga sesuatu yang tidak berasas.

Tambahnya, ia jelas kumpulan 52 kelab itu sukar menerima perubahan yang ingin dilakukan FAS.

"Sentimennya tetap sama, semua pihak mahukan Raja Muda Selangor menjadi presiden FAS.

"Mungkin niat mereka berbeza daripada kami.

"Sekarang anda dapat melihat dua situasi sama ada mahukan RMS mengemudi FAS untuk tujuan menjana perndapatan atau mahukan RMS melakukan perubahan secara holistik dalam pasukan," katanya.

Pelantikan Dr. Johan dan Izhar Moslem sebagai naib presiden FAS sebelum ini turut menjadi antara faktor 52 kelab terbabit tidak berpuas hati dan tetap mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Khamis lalu.

Sementara itu, Dr. Johan turut menyambut baik tindakan 52 kelab tersebut untuk bertemu dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, hari ini.

Beliau optimis PJS akan memperhalusi kemelut yang melanda FAS dengan terperinci dan adil.

"Setakat ini, usul yang diberikan mereka hanyalah usul yang tiada pengisian.

"Tindakan mereka untuk ke PJS akan membuktikan bahawa EGM yang mereka lakukan itu tidak sah," katanya.