Walaupun diikat Melaka 2-2 di Stadium Hang Jebat, pengendali Pahang, Dollah Salleh, belum mahu mengibarkan bendera putih untuk perebutan tempat kedua Liga Super musim ini yang dianggapnya belum tertutup.

Pahang terlebih dahulu berada di hadapan pada minit kelapan menerusi Issey Nakajima sebelum R. Gopinathan menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Pasukan tuan rumah kemudian mendahului 2-1 hasil jaringan Yahor Zubovich pada minit ke-24, namun pada masa kecederaan separuh masa pertama, Pahang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Amamchi Augustine Iwuji.

Keputusan ini menyukarkan Pahang untuk menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua tetapi mereka memiliki dua lagi aksi sebelum tamat musim ini.

"Bagi saya, peluang masih terbuka dan saya percaya dengan kebolehan pasukan ketika berdepan aksi akan datang," kata Dollah.

Sementara itu, pengendali Melaka, E. Elavarasan, berpuas hati dengan pasukannya yang berjaya memastikan tiada kekalahan dalam tiga perlawanan.

"Bukan senang untuk berkongsi mata dengan pasukan seperti Pahang, anda perlu bekerja keras dan Melaka telah menampilkan permainan yang berkualiti dalam perlawanan ini," katanya.