Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, tidak mahu mempertaruh Dickson Nwakaeme dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Ipoh, malam ini selepas penyerang itu dilanda kecederaan paha.

Nwakaeme hampir pasti tiada dalam perancangan Dollah.

Pengendali itu tidak mahu memburukkan lagi keadaan andai khidmat tonggak import itu terus dipertaruhkan.

Tegas Dollah, Pahang tidak boleh bergantung kepada Nwakaeme memandangkan Ze Love dan Norshahrul Idlan Talaha juga berkredibiliti untuk menjaringkan gol.

"Saya tidak boleh bergantung kepada Nwakaeme sahaja kerana kami masih memiliki Ze Love dan Norshahrul.

"Apa yang penting adalah persembahan keseluruhan pasukan," katanya.

Dollah berasakan barisan pemainnya tidak terlepas daripada masalah kepenatan

Ia gara-gara tiga aksi di laman lawan secara berturut-turut sepanjang enam hari ini, namun mengekalkan rekod tanpa tewas tetap menjadi keutamaan skuad Tok Gajah itu.

"Selepas mengharungi dua perlawanan dalam tempoh yang terlalu dekat, saya risau dengan keletihan pemain.

"Saya yakin kami akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan kemenangan," tambahnya.