Dollah puji disiplin taktikal Tok Gajah

Oleh Astro Arena 25 Mei 2017
Dollah puji disiplin taktikal Tok Gajah
Pengendali Pahang, Dollah Salleh, memuji corak permainan anak buahnya yang membenam Selangor 2-0 dalam aksi Liga Super di Selayang, malam tadi.

"Pemain berdisiplin ketika menyerang dan bertahan, saya tidak terperanjat kami meraih kemenangan 2-0, malam ini (tadi).

"Kami sepatutnya mencetak lebih banyak gol lagi tetapi kami terlepas banyak peluang. Secara keseluruhannya, tiga mata sangat penting," katanya dalam sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.

Selangor menerapkan formasi 3-4-3 dengan mempertaruhkan Andik Vermansyah dan juga Amri Yahyah dalam usaha mengekang kepantasan pemain lawan.

Selepas permulaan seimbang pada babak pertama, Pahang mula meningkatkan tempo permainan.

Pergerakan Mohamadou Sumareh di sebelah kanan nyata sukar dikekang sementara Matheus Alves turut mempunyai beberapa peluang.

Antaranya, percubaan pada minit ke-36 yang ditepis penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid.

Kedudukan tanpa jaringan kekal ketika pemain menuju bilik persalinan dan Selangor cuba menyaingi pergerakan pantas Tok Gajah sebaik permainan bersambung.

Namun, pelawat lebih unggul apabila Alves menanduk masuk hantaran daripada Matthew Davies pada minit ke-74 untuk meletakkan Pahang di depan.

Lapan minit berselang, gerakan individu Sumareh yang mengucar-ngacirkan pertahanan Selangor dimanfaatkan oleh Alves untuk mencetak gol peribadi keduanya.

Peluang kebangkitan tuan rumah musnah apabila pemain gantian, Abdul Halim Zainal, dilayangkan kad merah selepas mengasari Sumareh pada lewat permainan.

"Kami tidak bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang.

"Cara kami bertahan juga tidak begitu bagus manakala Pahang bermain dengan cukup baik sekali.

"Mereka menguasai perlawanan.

"Tempoh rehat selama sebulan ini harus digunakan untuk memperkemaskan permainan kami," ujar ketua jurulatih Red Giants, P. Maniam.




 

Tentang Penulis

Astro Arena
Tawaran Menarik

Komen