Ketumpulan jentera serangan membuat jurulatih Pahang, Dollah Salleh, semakin gelisah, ditambah pula ketiadaan ayam tambatan, Patrick Cruz, yang masih belum boleh beraksi dalam pertemuan dengan PKNS FC ekoran belum pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Kehadiran semula Mohamadou Sumareh belum boleh membuat Dollah tersenyum kerana runsing memikirkan aksi tidak konsisten dua pemain importnya, Austin Amutu dan Issey Farran Nakajima.

Walaupun barisan tengah dan pertahanan mempamerkan aksi mantap, segala perkara itu tidak bermakna jika barisan serangan gagal mencipta atau menyudahkan peluang di depan gawang lawan.

"Penyerang kami tidak menjadi. Kami kehilangan Patrick Cruz manakala Sumareh juga tidak beraksi tempoh hari.

"Puncanya hanya satu, penyerang tidak menjaringkan gol, itu masalah ketara pasukan ini," kata Dollah.

Ditambah pula lawan turun dengan rekod ampuh tanpa bolos dalam dua perlawanan, beliau bimbang Tok Gajah bakal berputih mata di Stadium Darulmakmur malam ini.

Harapan utama Dollah kini disandarkan kepada bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, yang dilihat semakin menemui sentuhan.

Jurulatih itu cukup berbangga Norshahrul atau Mat Yo membuktikan bahawa dia masih ada sesuatu untuk ditawarkan kepada pasukan berdasarkan pengalaman luasnya.

"Saya selalu berpesan kepadanya, buatlah apa yang patut dan Alhamdulillah dalam lima perlawanan terakhir, Mat Yo kembali ke prestasi terbaiknya sebelum ini.

"Saya rasa bangga, bagaikan apa yang saya idamkan tercapai.

"Harap-harap bukan secara individu, malah untuk pasukan sekali," katanya.