Pahang merampas tangga ketiga Liga Super selepas merekodkan kemenangan tipis 1-0 berdepan PKNS FC hasil jaringan tunggal Issey Nakajima Farran di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Tuan rumah turun dengan tekanan ekoran gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan lalu sejak bergelar juara Piala FA yang menyaksikan peluang mereka muncul naib juara Liga Super kian terjejas.

Kubu pelawat terlebih dahulu diuji pada minit keenam apabila hantaran lintang Issey ke dalam kotak penalti disambut Austin Amutu yang ditangkap kemas oleh Zarif Irfan.

Bagaimanapun, Zarif terperangkap pada minit ke-26 ekoran gagal menduga baik bola sepakan percuma Nor Azam Azih yang disambar Safuwan Baharudin sebelum Issey mudah menanduk masuk ke dalam pintu gol yang terbuka luas.

Penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias, menjadi penghalang utama Semut Merah mencetak gol penyamaan pada minit ke-39 selepas cemerlang menghalang Bruno Oliveira Matos dalam situasi satu lawan satu.

Rentak PKNS berubah dalam babak kedua dengan lebih banyak menguasai permainan, terutama dengan kemasukan Safee Sali yang banyak membantu barisan serangan.

Pada minit ke-70, Faris Ramli yang tidak dicabar dalam kotak penalti sekadar melepaskan sepakan meliar sebelum dia dikecewakan Helmi sembilan minit kemudian apabila penjaga gol Tok Gajah itu lebih pantas menyelamatkan keadaan.

Kegagalan PKNS memanfaatkan peluang sehingga penghujung permainan melegakan Pahang.

"Saya bersyukur kami dapat kemenangan. Kami ada satu peluang dan satu gol.

"Lepas itu, kami banyak bertahan," kata pengendali Pahang, Dollah Salleh.

Sementara itu, rakan sejawatannya di PKNS, Datuk K. Rajagobal, mengulas kekalahan mereka dengan berkata: "Kami ada ada peluang untuk jaringkan gol penyamaan dan gol kedua.

"Kami tidak agresif di depan gol tapi gagal memanfaatkan peluang yang ada."