Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, risau keletihan yang membelenggu pasukannya akan memberikan kesan negatif dalam aksli Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam esok.

Kelmarin, skuad Tok Gajah itu cemerlang menundukkan Perak 3-1 dalam separuh akhir pertama Piala FA di Kuantan.

Namun, bekas jurulatih kebangsaan itu menegaskan tempoh rehat yang singkat di antara kedua-dua perlawanan itu mampu memberikan impak negatif terhadap pasukannya.

Tambahnya, walaupun Pahang mungkin akan menurunkan barisan kedua, misi membawa pulang tiga mata tetap menjadi keutamaannya.

"Semua pasukan dalam (Liga) Malaysia ini sama sahaja.

"Semua kekuatan pun lebih kurang sahaja.

"Kalau hari ini ia menjadi, maka menjadilah.

"Kami datang ke sini dengan masalah juga memandangkan kami akan menghadapi perlawanan separuh akhir kedua (Piala FA) di Perak nanti (Sabtu ini).

"Masalah saya sekarang ialah tiga perlawanan itu terlalu dekat, jadi pemain nampak keletihan," katanya.

Pahang kini berada di tangga kedua Liga Super dengan berbaki enam perlawanan, termasuk aksi menentang Selangor itu.