“Liga Malaysia maju tetapi mutu pengadilan masih di takuk lama.”

Itu reaksi bersahaja pemain Pahang, Dickson Nwakaeme, yang tidak berselindung dengan pendapatnya bahawa pengadil, Wan Tarmizi Wan Brahim, tidak telus sewaktu mengendalikan aksi skuad Tok Gajah menentang Melaka semalam.

Pahang dilihat mampu meraih kemenangan dan segalanya tampak sempurna dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu,, namun 10 minit terakhir menyaksikan beberapa keputusan pengadil mengganggu rentak perlawanan selain menjurus ke arah kontroversi pergaduhan sebaik wisel penamat ditiupkan.

Situasi itu membuatkan Nwakaeme melihat mutu Liga Malaysia sudah meningkat tetapi kebijaksanaan pengadil mengurus sesuatu perlawanan berat menimbulkan tanda tanya.

"Bola sepak Malaysia kini semakin bagus dan telah meningkat berbanding sebelum ini tetapi saya rasa pengadil masih sama. Jadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melakukan sesuatu terhadap situasi ini," kata Nwakaeme.

"Saya tidak pernah suka mengkritik pengadil kerana mereka menjalankan tugas. Kadangkala, mereka jujur dan ada waktu tidak tetapi percaya pada saya, keputusan itu tidak adil dan baik. Saya harap ia dapat diubah untuk masa akan datang."