Jurulatih Petaling Jaya City (PJC) FC, K Devan, nyata tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi apabila tidak hadir ke sidang media selepas perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Pihak media yang menunggu jurulatih itu untuk mendengar pandangan dan ulasannya mengenai perlawanan dengan Perak itu kecewa dengan tindakan jurulatih berkenaan.

Tidak diketahui sebab sebenar Devan tidak muncul dalam sidang media itu tetapi ia dipercayai gara-gara rasa tidak puas hatinya terhadap pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasarudin.

Devan jelas tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Nazmi dan dilihat bertegang leher dengan pegawai perlawanan selepas tamat permainan.

Kekecewaannya difahami tetapi atas apa alasan sekalipun, dia tidak sepatutnya tidak menghadiri sidang media itu.

Bak kata pepatah lama ' Jangan bakar kelambu jika pun marahkan nyamuk'. Devan tidak sepatutnya menyusahkan tugas pihak media yang sudah lama bersedia dan menunggu untuk menemu bual pegawai pasukan.

Jika terlalu kecewa sekalipun dan tidak boleh menerima kekalahan itu, setidak-tidaknya hantarlah penolong jurulatih atau wakil ke sidang media itu.

Jika marahkan pengadil, janganlah pihak media pula menerima tempiasnya. Buatlah bantahan rasmi kepada FAM atau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Itu baru 'gentleman'.

Selaku penganjur, MFL perlu tegas apabila melibatkan soal etika dan peraturan kerja agar Liga Malaysia berjalan dengan lancar serta dalam suasana harmoni.