Ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, mendakwa dia tidak dipanggil dan diberitahu untuk menghadiri sidang media selepas perlawanan berdepan Perak di Stadium Perak malam tadi.

"Saya tidak tahu mengenai sidang media itu dan tiada siapa yang memanggil saya. Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Perak Perak (PAFA) juga tidak beritahu saya.

"Saya bukan jenis mengelak bertemu media, malah sentiasa berusaha mengadakan hubungan baik dengan pemberita," ujar Devan.

Devan turut berkata selepas perlawanan dia memberi kenyataan kepada sebuah stesen televisyen di tepi padang.

Dia memberitahu ketika keluar dari bilik persalinan menuju ke bas pasukan, dia telah ditemuramah oleh Astro Arena.

"Itu perkara yang sebenarnya berlaku. Jika saya boleh mengadakan dua sidang akhbar kepada pihak terbabit kenapa pula saya tidak mahu hadir sidang media itu," tambah Devan.

"Saya berharap penjelasan ini akan menjernihkan suasana dan membersihkan imej saya yang tercalar," katanya mengulas dakwaan dirinya kurang semangat kesukanan kerana tidak hadir sidang media selepas perlawanan itu.