Penolong jurulatih PJ City FC, P. Maniam, mendedahkan K. Devan menjadi faktor utama dia melepaskan jawatan selaku pengendali skuad B-15 kebangsaan selain tawaran menarik untuk kembali dalam kancah Liga Malaysia.

Maniam membuat kemunculan semula dalam kancah liga tempatan selepas direhatkan sebagai pengendali Selangor pada Mac 2018.

Jurulatih berusia 52 tahun itu menyertai barisan kejurulatihan PJ City, sekali gus menyaksikan dia kembali bergandingan dengan Devan.

Sebelum ini, mereka merupakan gandingan yang cukup mantap apabila Selangor berjaya menjulang Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2009 serta Liga Super pada 2010.

"Kalau dilihat PJ City, sebagai jurulatih kami sememangnya mempunyai sasaran tetapi kami mahu lakukan yang terbaik. Mungkin dalam kelompok lima terbaik berbekalkan pemain yang ada," katanya.

Bersama skuad B-15 kebangsaan tahun lalu, Maniam berjaya meraih tiga gelaran, termasuk menjuarai Kejohanan AFF, namun gagal dalam misi layak ke Piala Dunia B-17 2021.

"Kami tidak boleh guna pendekatan sama seperti dalam skuad B-15. Ini adalah pemain profesional, jadi perlu bantu mereka dalam membuat keputusan. Motivasi perlu diberi dalam mempersiapkan diri menghadapi sesuatu perlawanan."



Editor: Nafis Abdullah