Keyakinan pengendali PJ City FC, K. Devan, beberapa hari lalu dengan melabelkan pasukan kendaliannya sempurna dengan kemasukan Safee Sali dan Sergio Filho hanya mimpi apabila kehilangan mata susulan kekalahan 0-2 di tangan Kedah di laman sendiri semalam.

Devan mengakui anak buahnya membuka saingan semalam dengan langkah kiri tetapi menegaskan jaringan pertama Kedah yang terhasil daripada Syahrul Azwari Ibrahim tidak sepatutnya berlaku dan kelemahan barisan pertahanan skuad kendaliannya menjadi punca mereka ketinggalan awal.

Lebih malang, permainan anak buahnya dilihat semakin kehilangan arah setelah ketinggalan seawal minit keenam.

"Gol pertama tidak seharusnya berlaku. Saya rasa kesilapan pertahanan menyebabkan gangguan terhadap permainan pasukan dalam babak pertama.

"Apabila kurang pengalaman dalam Liga Super dan menerima gol pertama sebegitu, saya lihat penyusunan permainan terganggu," kata Devan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, lega anak buahnya cemerlang meneruskan rekod tanpa kalah mereka, sekali gus terus mengungguli takhta liga sambil Syahrul Azwari tidak mahu digelar wira kerana lebih selesa menganggap jaringan yang diraih hasil daripada kerjasama sepasukan.

"Setiap perlawanan akan berbeza kerana kami berdepan lawan berlainan. Apa yang penting, pemain Kedah mengikut perancangan dan bekerja keras untuk menterjemahkannya dalam perlawanan," ujar Aidil.

"Siapa yang jaringkan gol, itu perkara kedua. Apabila diberi peluang untuk bermain, semua perlu pamerkan aksi terbaik. Apa yang penting dapatkan mata," tambah Syahrul.