Pengendali PJ City FC, K. Devan, melihat aspek disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit permainan menjadi pemangkin kepada kemenangan 1-0 ke atas juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT), semalam.

PJ City melakar kejutan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin apabila meranapkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Luciano Figueroa itu dalam saingan liga musim ini setelah penyerang import dari Brazil, Washington Brandao dos Santos, muncul wira menerusi rembatan kencang di dalam kotak penalti pada minit ke-63.

Keputusan itu juga meleburkan impian tuan rumah untuk mengulangi pencapaian pada musim 2016 yang menyaksikan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan.

Bagi Devan, kejayaan anak buahnya adalah hasil daripada sikap pemain yang sentiasa memberi fokus di sepanjang 90 minit permainan.

"Bagi saya, ini merupakan satu persembahan yang berlandaskan disiplin. Pertahanan tampil baik, begitu juga dengan daya kerja yang dipamerkan pemain lain," kata Devan dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Figueroa pula mengakui kecewa dengan kekalahan yang diraih dalam perlawanan ke-21 liga musim ini tetapi menegaskan lebih pentingkan persembahan keseluruhan anak buahnya.

"Keputusan tidak menyebelahi kami dan saya begitu kecewa. Namun, tidak mengapa, kami sudah bergelar juara, jadi tiada apa perlu dirisaukan. Kami hanya memikirkan corak permainan kami dan saya tidak suka melihat persembahan JDT hari ini," ujarnya.

Sementara itu, pasukan JDT akan diraikan dalam upacara sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam berturut-turut di Dataran Bandaraya Johor Bahru, Jumaat ini.

Pertunjukan bunga api yang menakjubkan dan persembahan lampu, lebih hebat dan lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu, akan menemani juara ‘double hat-trick’ itu manakala gimik kejutan istimewa berkonsep elektronik akan menandakan satu lagi kejayaan kempen yang menyaksikan JDT meraih kejayaan “untouchable” dalam Liga Malaysia.