Aksi 'derby' membabitkan dua pasukan utara, Perak dan Kedah, di Stadium Darulaman malam ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Selain pertembungan klasik di antara dua musuh tradisi itu, pertemuan itu juga adalah untuk memburu kemenangan bagi meletakkan pasukan di kedudukan tertinggi Liga Super 2019.

Kedah berpeluang menamatkan cabaran di tangga kedua jika memenangi baki dua perlawanan dengan syarat Pahang kekal dengan 37 mata selepas selesai 22 perlawanan.

Sementara itu, Perak dengan 30 mata mengintai tempat ketiga jika menamatkan cabaran dengan maksimum 36 mata.

Namun, perlawanan itu juga pasti menjadi tumpuan peminat dan pencinta bola sepak tanah air kerana membabitkan pertemuan di antara dua finalis Piala FA 2019.

Justeru, pertemuan itu ibarat bayangan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 27 Julai ini.

Walaupun keputusan perlawanan ini tidak mempunyai sebarang ikatan, namun ia pasti menjadi medan buat kedua-dua jurulatih untuk menduga, menguji dan melakukan eksperimen.

Ibarat dua pendekar yang bertemu di tengah gelanggang, masing-masing turun dengan pelbagai helah dan tipu muslihat.

Kedua-dua pasukan pasti turun dengan penuh hati-hati dan waspada dalam usaha mencari kemenangan.

Apapun yang berlaku malam ini, bukan gambaran dan cerminan sebenar kemampuan kedua-dua pasukan yang pasti menyimpan kuku untuk membuat perhitungan akhir di Bukit Jalil kelak.

Yang pasti, penyokong dan peminat bola sepak yang hadir di stadium malam ini sudah tentu mendapat pulangan lumayan serta hiburan bernilai tinggi daripada aksi perlawanan ini.