Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun, tetap menyifatkan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai individu paling sesuai untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun kini terdapat dua calon lain yang turut dicalonkan selaku presiden FAM.

Bagi Chin Aun, meskipun dua calon presiden yang lain, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa mempunyai kelebihan sendiri, beliau tetap berasakan Hamidin lebih layak.

Tambah Chin Aun, Azim ketika ini sudah pun mempunyai tanggungjawab besar selaku timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) sementara Annuar pernah terpalit dengan beberapa isu ketika mengemudi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Chin Aun menganggap Hamidin mempunyai pengalaman luas selaku setiausaha agung FAM ketika ini selain pernah berkidmat sebagai naib presiden persatuan itu.

"Azim orang baru dalam bola sepak, saya fikir dia tidak tahu selok-belok lagi mengenai organisasi FAM.

"Lebih elok kalau calonnya adalah dalam kalangan yang kita kenali manakala ramai yang sudah sedia maklum dengan isu Annuar.

"Saya masih berpendapat Hamidin calon yang tepat," kata Chin Aun sewaktu ditemui ketika menghadiri hari bola sepak akar umbi AFC di Wisma FAM, hari ini.

Bekas kapten negara itu juga menegaskan seseorang yang menerajui FAM juga perlu sinonim dengan kancah bola sepak tempatan serta turut mempunyai hubungan baik dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Seseorang itu perlu memikul tanggungjawab untuk mengurus FAM, bukan setakat pada nama semata-mata.

"Ini bukan suatu tugas mudah, calonnya perlu memiliki pengalaman dalam FAM," kata Chin Aun lagi.