Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menunggu perbincangan akhir dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berhubung status kontraknya yang masih berbaki sehingga penghujung November ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan badan itu ketika ini hanya menunggu kehadiran Cheng Hoe ke Wisma FAM untuk memulakan tugasan.

Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang belum selesai melibatkan Cheng Hoe dan KFA ketika ini, dan jurulatih itu menjamin ia akan diputuskan secepat mungkin.

"Setakat ini, saya tidak mendapat sebarang berita lagi tetapi perkara ini akan diselesaikan secepat yang mungkin," katanya.

Sebaik sahaja Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar, pulang dari Kota Kinabalu selepas menghadiri mesyuarat Exco FAM kali pertama di bawah kepemimpinan baru, satu perbincangan akan diadakan bagi mencapai kata putus mengenai status terbaru Cheng Hoe.

"Sudah tentu akan ada perbincangan kerana saya masih ada kontrak bersama Kedah. Saya berharap satu perbincangan yang baik diadakan," tambahnya.

Kedah dalam masa sama sudah mula merisik kelibat beberapa jurulatih bagi mengisi kerusi yang bakal ditinggalkan pengendali berusia 49 tahun itu.

Antara calon yang disebut-sebut adalah bekas jurulatih kecergasan Kedah, Ramone Marcote, dan bekas jurulatih Kedah sekitar 2004 hingga 2009, Azraai Khor Abdullah.