Penyerang import Kelantan, Alessandro Celin, berharap dia terus diberi ruang bersama The Red Warriors selepas memperagakan prestasi cemerlang membantu kemenangan pasukan menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Dihantui masalah kecederaan berulang kali, pemain dari Brazil ini bangkit membuktikan kemampuan sebenarnya.

Jaringan pertama Kelantan yang terhasil pada minit ke-18 merupakan gol sulung Celin sejak bersama pasukan pada awal musim ini.

"Saya sangat gembira kerana menjaringkan gol selepas berehat panjang kerana mengalami kecederaan. Ini merupakan kemenangan yang penting buat Kelantan," katanya.

Dalam masa sama, Celin mengakui dia masih belum pasti nasibnya bersama pasukan selepas pengumuman penyerang dari Gambia, Sanna Nyassi, akan menyertai Kelantan.

Namun, dia berharap pihak kejurulatihan sedia mempertimbangkan kedudukannya kerana dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Saya telah bekerja keras di dalam sesi latihan dan membuktikan kebolehan saya dan berharap dapat kekal bersama pasukan."

Sementara itu, Pulau Pinang gagal meraih sekurang-kurangnya satu mata selepas Norshahrul Idlan Talaha meledak gol kemenangan Felda United di penghujung perlawanan untuk menang 2-1, malam tadi