Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat pertahanan import baru, Luis Gustavo Camilo, dalam aksi Liga Super berdepan Melaka, Sabtu ini.

Menurut pembantu jurulatih, Mohamad Nik, kem TFC masih menanti kehadiran pemain dari Brazil itu yang belum mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC).

Camilo juga berkemungkinan akan terlepas perlawanan menentang Perak di Ipoh, Selasa depan dengan masa kian suntuk untuk dia menyesuaikan diri dengan pasukan itu.

Bagaimanapun, situasi itu tidak merisaukan Mohamad yang yakin gandingan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris dan Nasrullah Haniff Johan dapat mengekang asakan Melaka.

"Jika (Camilo) sampai dalam masa terdekat sekalipun, sukar untuk dia mendapatkan rentak bersama rakan sepasukan.

"Pemain tempatan beraksi baik dalam perlawanan terakhir ketika bertemu Selangor bulan lalu dan saya harap mereka mengekalkan momentum itu," katanya yang ditemui selepas pasukannya mengalahkan TFC II 1-0 dalam aksi pemanas badan, malam tadi, hasil jaringan pemain tengah, Khairu Azrin Khazali pada penghujung permainan.

Hasrat penyokong TFC untuk melihat penampilan sulung Camilo tidak kesampaian dan kini terpaksa menunggu lebih lama untuk menilai kemampuan pemain itu.

Camilo, 27, menjadi pilihan pada hari terakhir jendela perpindahan kedua bagi menggantikan pemain Serbia, Igor Zonjic, yang ditamatkan kontrak.